MP DAP: Henti raikan 31 Ogos di Sarawak

DAP mahu kerajaan negeri tidak lagi meraikan hari kebangsaan pada 31 Ogos kerana tarikh berkenaan tidak mempunyai kepentingan sejarah untuk Sarawak.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen berkata ini adalah kerana Sarawak memperoleh kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963.
"Tidak ada justifikasi dan alasan bagi kerajaan Sarawak membazirkan dana awam untuk terus meraikan 31 Ogos, hari Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan," katanya dalam satu kenyataan.
"Saya menyeru (Ketua Menteri) Tan Sri Adenan Satem untuk menghentikan sambutan 31 Ogos di Sarawak. Marilah kita raikan sambutan rasmi negeri pada 22 Julai dan 16 September.
"Pada masa sama, DAP Sarawak mengucapkan saudara-saudari kami di Malaysia Barat Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan," katanya dalam satu kenyataan.
Chong berkata, Sarawak terpaksa menghabiskan "jutaan ringgit" untuk meraikan 31 Ogos setiap tahun selaras dengan arahan persekutuan, sedangkan wang berkenaan boleh digunakan untuk pembangunan luar bandar sebaliknya.
Katanya, ini akan menjadi ujian bagi Adenan sama ada beliau bertegas memperjuangkan autonomi untuk Sarawak, selaras dengan Perjanjian Malaysia.
"Jika kerajaan negeri tidak mampu dapat autonomi untuk membuat keputusan mengenai kalendar sambutan rasminya, apa autonomi yang boleh diperjuangan kerajaan negeri untuk Sarawak?
"Ia juga menunjukkan penjajahan kerajaan persekutuan ke atas kerajaan negeri Sarawak,” katanya.
Menurut Cong, meraikan ketiga-tiga tarikh berkenaan akan mengelirukan golongan muda Sarawak berhubung sejarah negeri itu.
22 Julai adalah cuti umum di Sarawak, dan disambut secara besar-besaran oleh kerajaan negeri.
Sarawak, Sabah, Singapura dan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Sabah, ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara, mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963.
Malaysiakini September 1,2016