PRN Sarawak: DAP sedia gempur kubu BN

KUCHING, 1 MAC : DAP Sarawak sudah bersiap sedia menggempur kubu Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri itu yang dijangka diadakan sekitar bulan depan (April).
Menurut Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, kesiapsiagaan DAP itu berdasarkan kerja keras seluruh jentera dan aktivis parti di pelbagai peringkat yang bermula sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-13 lalu.
“Kita sudah mula bekerja sejak pilihan raya umum lalu di kawasan-kawasan yang kita jangka akan meletakkan calon di sana. Banyak program kemasyarakatan dan pembangunan yang telah kita laksanakan dengan jayanya,” katanya dalam keluaran terbaru The Rocket Edisi Bahasa Malaysia yang dipetik Roketkini.
Malah, Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, hasil usaha keras DAP selama ini  membuahkan hasil yang memberangsangkan apabila semakin ramai rakyat pelbagai lapisan usia dan kaum menerima perjuangan DAP.
“Kita lihat saja baru-baru ini semakin ramai golongan profesional dari kalangan masyarakat Dayak telah menyertai kita. Bahkan, kita sangat diterima baik di peringkat akar umbi termasuk golongan belia yang sudah bosan dengan segala janji manis BN,” kata Chieng Jen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa.
Menurutnya, rakyat semakin tertekan dan bosan dengan mainan propaganda BN yang seringkali bercanggah antara satu dengan lain yang kononnya mendahulukan Rakyat.
“Isu seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kelembapan ekonomi, pengangguran, skandal kewangan mega yang melibatkan Perdana Menteri dan perkauman sudah cukup membimbangkan rakyat.
“Selain itu, isu tempatan yang gagal di selesaikan BN Sarawak juga memberi kesan yang besar ke atas rakyat Sarawak, ” katanya.
Beliau berkata antara isu tempatan yang menyebabkan kepercayaan rakyat Sarawak terhadap BN semakin terhakis melibatkan isu cukai, autonomi pendidikan, keselamatan, kemudahan asas, pendidikan dan  kemudahan kesihatan.
“DAP Sarawak sentiasa lantang menuntut hak kita sebagai rakyat Sarawak. Dalam isu cukai, kita mendesak kerajaan persekutuan kembalikan semula 50 peratus hasil cukai yang dikutip dari Sarawak termasuk GST dan cukai pendapatan,” katanya yang menjelaskan bahawa cukai yang dikembalikan itu digunakan untuk pembangunan Sarawak.  – Roketkini.