Larangan pembangkang ke Sarawak bukti BN tidak demokratik

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, telah menunjukkan taring kuasanya dengan bersikap tidak demokratik apabila membiarkan  pemimpin pembangkang dilarang masuk ke Sarawak bagi menghadapi pilihanraya negeri.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata tindakan itu memberi gambaran buruk bahawa kerajaan BN Sarawak tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan amalan demokrasi yang membenarkan rakyat warganegara ini untuk bergerak bebas di dalam negara.
Malah, katanya, langkah larangan itu juga dibuat atas dasar untuk mengukuhkan kuasa Adenan dan BN semata-mata dengan menggunakan segala undang-undang yang ada bagi menghalang usaha pihak pembangkang untuk mendekati rakyat negeri itu.
“Bagaimanapun sukar untuk kita berbuat apa-apa terhadap larangan tersebut kerana ia termaktub di dalam Perlembagaan Negeri Sarawak,” tambah beliau.
Kerajaan negeri Sarawak di bawah pentadbiran Barisan Nasional sekali lagi dibidas ekoran larangan yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin pembangkang untuk memasuki negeri itu, lebih-lebih lagi ketika pilihanraya umum negeri dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, pula menyifatkan langkah itu sebagai penyalahgunaan kuasa BN Sarawak yang membuktikan ia tidak menghormati amalan demokrasi yang menjadi tunjang kepada penubuhan Malaysia.
“Walaupun saya secara dasarnya dipilih penduduk Petaling Jaya Utara (Selangor) untuk mentadbir kawasan itu, sebagai Ahli Parlimen Malaysia, saya berpegang kepada ikrar untuk membantu semua rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada.
“Justeru tindakan itu seolah-olah menidakkan hak saya untuk berkhidmat kepada rakyat, termasuk rakyat Sarawak,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Tony Pua antara salah seorang pemimpin pembangkang yang dihalang untuk memasuki Sarawak. Turut mengalami nasib yang sama ialah dua Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar dan Chua Tian Chang; Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin; dan Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok. 
– Roketkini.com