DAP dakwa kejayaan BN pada PRN Ke-11 tanda sokongan terhadap GST

TOLAK: Chong bersama barisan pemimpin DAP Sarawak menunjukkan risalah DAP untuk menolak GST selepas sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di Kuching, semalam.
KUCHING: Kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 nanti didakwa akan dilihat sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa, kadar GST hampir pasti akan meningkat sekiranya BN menang besar pada PRN kali ini.
“Jika BN menang besar, hampir pasti kadar GST akan meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus daripada enam peratus,” katanya.
Chong berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP-Kota Sentosa itu menggesa rakyat agar sedar akan perkara itu serta bangkit bersuara menolak GST melalui undi masing-masing.
Katanya, PRN akan menjadi ujian penerimaan rakyat terhadap pelaksanaan GST sejak 1 April 2015.
Menurutnya, setakat ini pihak kerajaan telah mengutip lebih RM30 bilion hasil daripada GST dan rakyat Sarawak sendiri telah membayar lebih RM1 bilion.
“Inilah masanya untuk orang Sarawak bersuara menolak GST serta kenaikan kadarnya melalui undi anda,” ujarnya sambil mendakwa setiap rakyat negeri ini telah membayar GST purata sebanyak RM330 tahun lalu.
- Utusan Borneo March 26,2016