Berani berubah? Sumbanglah kepada dana kempen pilihanraya DAP Sarawak

KUALA LUMPUR, 24 MAC: DAP melancarkan Kempen Kutipan Dana Kebangsaan hari ini bagi mengumpul bantuan wang untuk aktiviti dan kegiatan sepanjang kempen pilihanraya negeri Sarawak yang dijangka diadakan bulan depan.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata sumbangan orang ramai amat dihargai memandangkan kegiatan berkempen di kawasan pedalaman negeri itu amat sukar dijalankan dan menelan kos logistik yang tinggi.
“Kami mengalu-alukan bantuan dari semua rakyat Malaysia yang mahukan perubahan, terutama mereka di Semenanjung bagi menyokong usaha kami untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang.
“Perjuangan untuk Sarawak merupakan perjuangan untuk Malaysia. Masa depan seluruh rakyat negara ini bergantung kepada pilihanraya negeri akan datang,” katanya kepada wartawan pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini.
Menurut Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, pilihanraya negeri yang bakal tiba itu merupakan satu ujian getir bagi DAP dan Pakatan Harapan menentang kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak buat masa ini.
Ia ekoran pilihan raya itu bakal menjadi kayu pengukur kepada populariti Najib yang kini dilanda pelbagai skandal kewangan dan usaha Pakatan Harapan untuk memenangi lebih banyak kerusi di Sarawak, tambah beliau.
“Jika DAP dan Pakatan Harapan berjaya menang di kawasan pedalaman, ia akan menggugat kestabilan kerajaan pimpinan Najib.
“Ia bermakna bahawa jika rakyat mahukan perubahan kerajaan di Putrajaya, ia harus bermula di Sarawak. Apa yang berlaku pada pilihanraya negeri akan datang memberi kesan terhadap seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Individu yang mahu menghulurkan bantuan kewangan kepada DAP untuk kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak boleh berbuat demikian melalui perbankan internet atau deposit tunai kepada “DAP Malaysia” di nombor akaun 306 382 8309 (Public Bank), atau melalui kad kredit dihttp://ubahsarawak.com.
Selain itu, DAP akan turut menganjurkan konsert berserta majlis makan malam dan kutipan derma pada 7 April 2016 (Khamis), pukul 7.30 malam di Starlight Restaurant Naturalle, Jalan 51A/241, Petaling Jaya.
Mereka yang berminat untuk menempah boleh menghantar e-mel kepada dapdinner@gmail.comatau hubungi +6016-8782472. – Roketkini.com