Lagi profesional Dayak sertai DAP, status quo BN Sarawak kian tergugat


KUCHING 24 JAN: Propaganda jahat yang menuduh DAP sebagai ‘parti Cina’  makin tenggelam apabila DAP Sarawak hari ini terus mencipta sejarah dengan kemasukan golongan profesional Dayak anak negeri itu.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, berkata perjuangan DAP yang konsisten  mengangkat isu dan hak rakyat tanpa mengira kaum dan agama menjadi dorongan utama mereka memilih DAP sebagai wadah perjuangan.
“Sejak sekian lama BN berusaha keras mengaitkan DAP sebagai sebuah ‘parti Cina’. Namun dalam tempoh dua tahun ini, 60 peratus keanggotaan DAP di Sarawak adalah dari masyarakat Dayak. Kita mempunyai lebih ramai ahli Dayak berbanding ahli orang Cina,” katanya.
Pada kenyataan media, beliau berkata, DAP Sarawak akan terus menyuarakan isu yang memberi kesan kepada semua kaum dan berjuang untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.
“Antara yang kita akan suarakan ialah isu ekonomi seperti GST, penurunan nilai ringgit, peningkatan kos sara hidup, peluang ekonomi yang makin berkurang dan isu pendidikan yang memberi kesan kepada masyarakat Dayak dan Melayu, begitu juga masyarakat Cina,” katanya.
Majlis penerimaan keanggotaan DAP dari golongan professional berlangsung di Pusat Khidmat Miri Piasau di sini, pagi tadi.
Antara yang menyerahkan borang keanggotaan ialah, Ellison Ludan (mantan pensyarah Maktab Perguruan Miri & Curtin University), Musa Dinggat (Peguam di Bintulu), Christopher Sawan (Peguam di Brunei dan Miri), Anselm Diye (Jurulatih Eksekutif Senior di Petronas kini dalam program PhD), Ketua Kampung Estel Ak Simpo (pesara ahli farmasi) dan beberapa Tuai Rumah.
--roketkini

Popular posts from this blog

张健仁:连部长都搞不清 “831是国庆或独立日?”

东西马差距大 练习本售价不一

商场送风机割伤指案 火箭争获警方调查