DAP tak bercadang tubuh kerajaan perpaduan dengan BN Sarawak, yang penting kerjasama dengan pihak yang bersih, adil, anti-korupsi

KUCHING, 12 JULAI: DAP tidak pernah bercadang untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional Sarawak semata-mata kerana kuasa, dan fitnah yang ditimbulkan itu oleh pihak tertentu hanya berniat memburukkan perjuangan parti.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, kenyataan beliau pada 15 Mac lalu jelas menyatakan bahawa apabila pembangkang nasional mengambil alih pentadbiran Malaysia, maka BN Sarawak ditawarkan untuk bersama jika sanggup mengamalkan pentadbiran bersih dan baik.
Ini bermakna, jika kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran tidak telus, tidak bersih serta bergelumang dengan korupsi, salah guna kuasa dan pembaziran, maka DAP tidak akan bekerjasama dengan kerajaan atau parti yang seperti itu, tambah beliau.
“Dengan ini, tidak timbul isu DAP mahu mewujudkan kerajaan perpaduan dengan BN Sarawak semata-mata kerana kuasa. Ini tidak masuk akal dan bertentangan dengan prinsip yang DAP perjuangkan selama ini,” kata beliau.
Menurutnya, apa yang beliau mahu jelaskan dalam kenyataan pada Mac itu adalah mesej kepada pengundi Sarawak bahawa mereka berhak mengekalkan BN jika mahu tetapi sebagai rakyat Malaysia, mereka perlu menolak BN nasional kerana sudah terlalu lama merosakkan negara.
Beliau kesal kerana ada pihak, termasuk beberapa pemimpin PKR Sarawak yang cuba memutarbelitkan kenyataannya seolah-olah sengaja mahu mencari masalah.
“Jika kita sama-sama menumpukan kepada usaha untuk menarik sokongan rakyat menentang BN di peringkat pusat, ia adalah lebih baik daripada berbalah sesama sendiri,” tambah beliau.
Menurut Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, DAP Sarawak sudah bersedia untuk menghadapi pilihanraya negeri yang boleh diadakan pada bila-bila masa, di samping sedang menyiapkan persediaan untuk pilihanraya umum akan datang.
Katanya, DAP Sarawak juga akan bertanding di kawasan-kawasan yang akan menampilkan calon-calon dari pelbagai kaum dan agama. – Roketkini.com