Skip to main content

DAP Sarawak tentang usaha keluar Malaysia

DAPSarawak_M
Chong Chieng Jen, berkata sentimen di kalangan segelintir pihak yang mahu Sarawak keluar dari Malaysia perlu ditangani.- Foto arkib TRP
SUBANG JAYA, 14 Disember:
Di sebalik beberapa cadangan agar diwujudkan sistem pemerintahan bebas, DAP Sarawak menegaskan ia menentang agar dua negeri di Malaysia Timur berpisah daripada Persekutuan Malaysia.
Pengerusinya Chong Chieng Jen, berkata sentimen di kalangan segelintir pihak yang mahu Sarawak keluar dari Malaysia perlu ditangani.
Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching itu berkata, untuk menjadi rakan kongsi yang adil dan saksama dalam Persekutuan Malaysia, DAP Sarawak mencadangkan kerajaan negeri itu harus menerima pakai sistem pendidikan autonomi bagi menghapuskan pengaruh UMNO.
Katanya lagi, DAP berjanji akan menggunapakai sistem berkenaan jika memenangi pilihan raya negeri berkenaan tahun depan.
Chong berkata, walaupun politik Sarawak tidak dikuasai oleh UMNO secara langsung, namun pengaruhnya dapat dirasai dalam kandungan sukatan pelajaran dan sistem pendidikan negara.
“Sarawak adalah satu-satunya negeri yang bebas dari sebarang pengaruh UMNO.
“Namun di sebalik keharmonian kaum di negeri ini, UMNO melalui pegawai kerajaan Persekutuan yang dilantik yang mempengaruhi dan membuat keadaan menjadi kucar-kacir di negeri ini,” katanya kepada perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan DAP, di One City, hari ini.
Chong mendakwa sukatan pelajaran yang kini digubal oleh pegawai-pegawai kerajaan persekutuan ‘meracun’ generasi semasa dan lebih muda di negeri ini dengan polemik kaum dan agama.
Perkara itu, kata Chong telah dibangkitkan apabila sayap negeri DAP mengumumkan Perisytiharan Bintulu 2014 baru-baru ini.
Selain pendidikan, beliau juga mendesak kuasa autonomi dalam bidang kesihatan dan perubatan serta kepolisan tanpa menjelaskan lebih lanjut sebab desakan itu dibuat.
“Bagaimanapun untuk memastikan bahawa ia berlaku, Sarawak memerlukan dana,” katanya sambil menegaskan ia boleh dilakukan dengan memastikan bahawa 50 peratus daripada wang pembayar cukai yang dikutip dari Sarawak disalurkan semula ke negeri Malaysia Timur itu.
Chong menegaskan bahawa pada tahun 1963, amalan seperti itu pernah dilaksanakan terhadap Singapura ketika republik itu adalah sebahagian daripada Malaysia, dan sehubungan itu tidak mustahil ia boleh dilakukan terhadap Sarawak. 
-The Raykat Post(14/12/2014)